http://www.imeem.com/people/T4-q96Q/music/lHq9-e0v/edcoustic-di-persimpangan-aku-berdiri/
[bacalah sambil dibuai lagu ku ini]
Hari ini berakhir jua. Tidak seperit yang dibayangkan. Dua hari ini, benar-benar malu pada Allah. Dalam “kenakalan” dan “kealpaan” menjadi hamba yang sejati, Allah tidak pernah lokek atau lupa untuk menghantar rahmatNya melapangkan segala urusan memudahkan segala kesulitan. Terasa benar nikmatnya hidup bertuhan!
Dengan rasminya hari ini, aku “bercerai” talak satu dengan Nisa’. “Kekasih” yang aku sayangi. Nisa’ platform pertama sekembaliku merantau di tanah semenanjung mencari segulung ijazah. Tidak dinafikan terlalu banyak yang aku lakar sepanjang 3 tahun lebih bersamanya. Namun, berpisah tidak semestinya kerana benci. Boleh jadi juga, perpisahan kerana tanda sayang. Memikirkan Nisa’ boleh pergi jauh dan lebih baik dengan pengunduranku, aku nekad dengan keputusan ini. Walau 2-3 kali di”acah” oleh insan-insan tertentu untuk aku memikirkannya semula. Namun, aku yakin bahkan semakin yakin, tindakan inilah yang terbaik. Untuk aku, Nisa’ dan semua pihak terutamanya team organisasi Nisa’.
Sekadar titipan pesan buat yang masih ada dan setia bersama Nisa’, selamat meneruskan agenda “kita”. Ku ulang sekali lagi kata-kata yang pernah kulafaz penuh getar suatu masa dulu..
..siapa pun yang akan menerajui dan berada di atas..thiqah dan wala’ lah..
Rasanya tidak perlu kuhurai panjang lebar dua perkataan ini. Kalian jauh lebih arif dari diri ini. Kerana dua perkataan inilah yang sering bermain-main dibibir kalian tatkala kalian bergelar pimpinan di alam kampus dulu. hingga aku juga pernah terkena “tempias” dua perkataan ini tatkala aku terasa ingin mengikut “kepala sendiri” dalam membuat keputusan. Benarlah..manusia akan diuji dengan perkataannya..
Apapun jua posisi kita, kita tetap disatukan di bawah bumbung jemaah yang sama. Bak kata ustaz Nasruddin Tantawi..kita dalam pas ni ibarat dalam majlis [ambil contoh majlis walimahlah..maklum Jun ni musim orang kahwin-kahwinan.. :)]..ada team basuh pinggan..ada masak memasak..ada layan tetamu..macam begitulah kita kini. Walau pelbagai team, masih dalam majlis yang sama. Cuma aku beralih terlebih dahulu..keluar dari team kita. Tapi kita masih dalam majlis yang sama..jemaah yang kita cintai..yang sudah menjadi nadi denyut perjuangan kita sedari bangku sekolah lagi.
Diteratak ku ini, aku menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan dari kalian. Andai aku mungkir janji kita. Dulu kita bersama-sama merencana strategi, melakar visi-misi, saharian berbengkel menyiapkan pelan induk dan pelan tindakan memacu Nisa’ ke arah kecemerlangan. Anggaplah itu kenang-kenangan kita yang aku tinggalkan untuk kalian terus mengingati diri kerdil ini.
Aku juga mohon secebis ihsan dari kalian, sudi-sudikanlah menghulur doa buat ku yang kini “sendiri”. Doakan aku mampu menggalas amanah baruku. Semoga Allah terus memillih kita berada dalam saf perjuangan yang penuh mehnah dan tribulasi ini.
